Thursday, February 10, 2011

siapa aku pada kamu..kawan?sahabat?atau teman?...

Pernah dengar perkataan kawan? Pernah dengar perkataan sahabat? Pernah dengar perkataan teman? "Apa beza antara semuanya. 
Apa definisi yang boleh ditonjolkan untuk menunjukkan ketiga-tiga perkataan tersebut berbeza dari segi makna bagi diri kita. Bukankah semuanya sama?" Ya, mungkin. Sama, tapi tak mungkin serupa.

"Kenapa pula?" 
Ketiga-tiganya mungkin kita lihat sama andainya kita memandangnya dari sudut persahabatan dan ikatan akal serta fikiran sesama makhluk. Ketiga-tiganya akan jadi tidak serupa andainya kita memandangnya dari sudut persahabatan yang disulam dengan kasih sayang, rasa cinta, kepercayaan dan keyakinan serta kebahagiaan yang terbawa bersama-samanya. 
"Aku kurang faham. Cuba jelaskan?" 
Baiklah. Pertama, kawan. Siapa yang kau istilahkan sebagai kawan? "Bagi aku, kawan adalah seseorang yang rapat dengan aku, seseorang yang boleh dibawa bercerita, tapi tak sepenuhnya cerita yang melibatkan hati dan perasaan dapat disampaikan secara terang-terangan kepadanya. Pendek kata, masih wujud batas-batas tertentu atau benteng yang menemboki pertuturan. Dalam sesetengah perkara, aku masih belum mampu meluahkan secara jujur segala yang melibatkan hati dan perasaan." Kedua, sahabat. 

Bagaimana pula definisi sahabat bagi diri kau. 
"Mmm...sahabat. Sama seperti kawan. Tapi, bagi aku, sahabat ada keistimewaannya tersendiri. Sahabat lebih memahami. Sahabat lebih peka dengan keperluan diri. Sahabat lebih terbuka dengan segala apa yang dimiliki. Boleh berkongsi apa sahaja. Perihal kehidupan juga perasaan. Sahabat juga sukar dicari. Dalam terang mungkin ia bersembunyi (memetik kata-kata seseorang).

"Bagaimana pula dengan teman? 
"Teman tak ubah semacam sahabat. Tapi, teman lain".
"Apa bezanya? "Dalam diri teman, ada sahabat. Tapi, dalam diri seorang sahabat belum belum tentu ada seorang teman. Dalam diri teman ada kasih sayang, cinta serta definisi kehidupan yang utuh dalam akal fikiran. Dalam diri sabahat pula, kita masih akan menemukan kasih sayang serta definasi kehidupan. Tapi, kita tidak akan sekali-kali terjumpakan cinta dalam dirinya. Kasih sayang terhadap sahabat sangat tulus, dan andainya disulam dengan rasa cinta, dikhuatiri rasa tulus itu akan hilang sebaik terhempasnya badai dugaan. Berbeza dengan teman, kita lebih sanggup mengambil risiko menghadapi seberapa hebat pun hujan cubaan yang datang, kerana kekuatan cinta biasanya diyakini dapat menempis segala bentuk dugaan seumpama ini. Bagi aku, istilah teman lebih hampir kepada teman hidup. Teman yang bakal mewarnai kehidupan pada masa depan".

"Nampak seperti kau begitu jelas dengan ketiga-tiganya."
"Mungkin. Tapi kadang-kadang pemikiran yang jelas pun tersangat mudah dikelirukan dengan cuma satu persoalan. Persoalan yang memerlukan jawapan satu antara dua. Kedua-duanya punya kriteria yang tidak sama. Ada pro kontranya. Ada positif negatifnya." 

"Tapi, seperti menjawab soalan dalam dewan peperiksaan, penilaian untuk memilih satu jawapan yang terbaik antara dua bukanlah mudah.
Perlukan perhatian, perlukan penelitian dan semestinya perlukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Namun, kita masih beruntung kerana diberi peluang mengulang-baca setiap satu soalan yang dikemukakan. Kita masih boleh menimbang baik buruk pilihan yang bakal dilakukan. Kita sentiasa diberi peluang sebenarnya. Sebanyak mana pun peluang yang datang, kadangkala manusia lupa juga. Lupa bila peluang tersebut datang berkali-kali. Terus langsung tidak dihargai." 

Kau sepatutnya jadi manusia yang paling bersyukur. Syukur dengan nikmat kasih sayang yang Dia berikan. Bukan mudah mencarinya. Jadi, janganlah senang-senang kau buangkannya begitu saja.
Belajarlah jadi seseorang yang tahu menghargai ketiga-tiga anugerah ini. Kawan, sahabat dan teman. Jika tidak, kau cuma akan dilihat tidak ubah seperti seekor kupu-kupu. Kupu-kupu yang patah sayapnya...

...dan di mata hati kalian, siapakah aku kalian letakkan? mungkinkan kawan? sahabat? atau teman?

Artikel asal:http://hdkama.multiply.com/reviews/item/119



No comments:

Post a Comment