Friday, February 11, 2011

VALENTINE'S DAY..apa hukum disisi ISLAM?

HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN
VALENTINE’S DAY
...budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat...
JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR

Pendahuluan
Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai di kalangan masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama “Valentine’s Special”. Di samping itu, jika kita tinjau persiapan yang dilakukan oleh golongan yang meraikannya, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih. Namun, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang- pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Sejarah permulaan Valentine’s Day
Kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini, hanya mengikut apa sahaja yang datang dari barat tanpa mahu mempersoalkan sama ada Valentine’s Day wajar disambut ataupun tidak. Sebenarnya Valentine’s Day mempunyai hbungan rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day:

i. Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa
dan dewi-dewi Rom. Hariberikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia
iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap
pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi
pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh
kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius
II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu,St.Valentine dan St.Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan
sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.


Hujjah dan Dalil
Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;

Bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah(Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya.Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. :

Bermaksud : “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa :

“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.





Thursday, February 10, 2011

siapa aku pada kamu..kawan?sahabat?atau teman?...

Pernah dengar perkataan kawan? Pernah dengar perkataan sahabat? Pernah dengar perkataan teman? "Apa beza antara semuanya. 
Apa definisi yang boleh ditonjolkan untuk menunjukkan ketiga-tiga perkataan tersebut berbeza dari segi makna bagi diri kita. Bukankah semuanya sama?" Ya, mungkin. Sama, tapi tak mungkin serupa.

"Kenapa pula?" 
Ketiga-tiganya mungkin kita lihat sama andainya kita memandangnya dari sudut persahabatan dan ikatan akal serta fikiran sesama makhluk. Ketiga-tiganya akan jadi tidak serupa andainya kita memandangnya dari sudut persahabatan yang disulam dengan kasih sayang, rasa cinta, kepercayaan dan keyakinan serta kebahagiaan yang terbawa bersama-samanya. 
"Aku kurang faham. Cuba jelaskan?" 
Baiklah. Pertama, kawan. Siapa yang kau istilahkan sebagai kawan? "Bagi aku, kawan adalah seseorang yang rapat dengan aku, seseorang yang boleh dibawa bercerita, tapi tak sepenuhnya cerita yang melibatkan hati dan perasaan dapat disampaikan secara terang-terangan kepadanya. Pendek kata, masih wujud batas-batas tertentu atau benteng yang menemboki pertuturan. Dalam sesetengah perkara, aku masih belum mampu meluahkan secara jujur segala yang melibatkan hati dan perasaan." Kedua, sahabat. 

Bagaimana pula definisi sahabat bagi diri kau. 
"Mmm...sahabat. Sama seperti kawan. Tapi, bagi aku, sahabat ada keistimewaannya tersendiri. Sahabat lebih memahami. Sahabat lebih peka dengan keperluan diri. Sahabat lebih terbuka dengan segala apa yang dimiliki. Boleh berkongsi apa sahaja. Perihal kehidupan juga perasaan. Sahabat juga sukar dicari. Dalam terang mungkin ia bersembunyi (memetik kata-kata seseorang).

"Bagaimana pula dengan teman? 
"Teman tak ubah semacam sahabat. Tapi, teman lain".
"Apa bezanya? "Dalam diri teman, ada sahabat. Tapi, dalam diri seorang sahabat belum belum tentu ada seorang teman. Dalam diri teman ada kasih sayang, cinta serta definisi kehidupan yang utuh dalam akal fikiran. Dalam diri sabahat pula, kita masih akan menemukan kasih sayang serta definasi kehidupan. Tapi, kita tidak akan sekali-kali terjumpakan cinta dalam dirinya. Kasih sayang terhadap sahabat sangat tulus, dan andainya disulam dengan rasa cinta, dikhuatiri rasa tulus itu akan hilang sebaik terhempasnya badai dugaan. Berbeza dengan teman, kita lebih sanggup mengambil risiko menghadapi seberapa hebat pun hujan cubaan yang datang, kerana kekuatan cinta biasanya diyakini dapat menempis segala bentuk dugaan seumpama ini. Bagi aku, istilah teman lebih hampir kepada teman hidup. Teman yang bakal mewarnai kehidupan pada masa depan".

"Nampak seperti kau begitu jelas dengan ketiga-tiganya."
"Mungkin. Tapi kadang-kadang pemikiran yang jelas pun tersangat mudah dikelirukan dengan cuma satu persoalan. Persoalan yang memerlukan jawapan satu antara dua. Kedua-duanya punya kriteria yang tidak sama. Ada pro kontranya. Ada positif negatifnya." 

"Tapi, seperti menjawab soalan dalam dewan peperiksaan, penilaian untuk memilih satu jawapan yang terbaik antara dua bukanlah mudah.
Perlukan perhatian, perlukan penelitian dan semestinya perlukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Namun, kita masih beruntung kerana diberi peluang mengulang-baca setiap satu soalan yang dikemukakan. Kita masih boleh menimbang baik buruk pilihan yang bakal dilakukan. Kita sentiasa diberi peluang sebenarnya. Sebanyak mana pun peluang yang datang, kadangkala manusia lupa juga. Lupa bila peluang tersebut datang berkali-kali. Terus langsung tidak dihargai." 

Kau sepatutnya jadi manusia yang paling bersyukur. Syukur dengan nikmat kasih sayang yang Dia berikan. Bukan mudah mencarinya. Jadi, janganlah senang-senang kau buangkannya begitu saja.
Belajarlah jadi seseorang yang tahu menghargai ketiga-tiga anugerah ini. Kawan, sahabat dan teman. Jika tidak, kau cuma akan dilihat tidak ubah seperti seekor kupu-kupu. Kupu-kupu yang patah sayapnya...

...dan di mata hati kalian, siapakah aku kalian letakkan? mungkinkan kawan? sahabat? atau teman?

Artikel asal:http://hdkama.multiply.com/reviews/item/119



Wednesday, February 2, 2011

WARKAH TERAKHIR UNTUK SAHABAT


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.
Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan Ilahi.
Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait ayat ini.
"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."
Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :
"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)
Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat terbaikku.
Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.
Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...
from
-www.iluvislam.com-